Apa yang terdedah sejak kegagalan urusniaga perolehan 1.56 ekar tanah oleh Lembaga Urusan Tabung Haji mungkin belum cukup kuat untuk mengejutkan semua.Namun, persoalan yang bakal saya bangkitkan hari ini pastinya akan menaikkan amarah rakyat secara meluas.
Persoalan yang lebih penting yang kerap menerjah saya adalah milik siapa tanah TRX yang dijual dengan katanya RM64 kaki persegi kepada 1MDB pada 2011 dulu?
Pertanyaan saya terjawab baru-baru ini, apabila sebuah majalah kewangan tempatan, The Edge, menerbitkan satu penulisan bertajuk ‘Siapa menang dalam jualan tanah 1MDB kepada Tabung Haji’.
Laporan itu menyebut, 1MDB tidak akan memiliki sepenuhnya pembayaran sebanyak RM194.11 juta untuk tanah TRX itu. Ini berdasarkan catatan akaun 1MDB.
Sebahagian besar jumlah itu (tidak dinyatakan angkanya), adalah untuk pembayaran kepada pemilik asal tanah itu, bagi menjelaskan satu kaveat yang dibuat pemilik tersebut
Persoalannya siapa pemilik tersebut? Mengapa tanah TRX ini beralih tangan?
Pemilik asal tanah di Jalan Tun Razak ini ialah Pelaburan Hartanah Bumiputera Berhad (PHBB) yang telah diberikan hak untuk membangunkannya. PHBB kini berubah menjadi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB).
Siapakah yang bertanggungjawab menjual tanah PHBB kepada 1MDB dan berapakah harga yang sebenarnya dibayar oleh 1MDB kepada Kerajaan?
Kalau tidak silap saya MP Rembau (Khairy Jamaluddin) ada membangkitkan perkara ini tetapi isunya mati di tengah jalan sehingga kini atau terbengkalai begitu sahaja. Apakah beliau tidak diizinkan membangkitkan perkara ini?
Dikatakan bahawa tanah yang diperuntukkan kepada PHBB itu berlaku pada era Tun Abdullah Badawi.
Tujuannya, untuk membangunkan tanah tersebut supaya golongan bumiputera masih berpeluang memiliki saham dalam hartanah bernilai tinggi.
Saham itu dikatakan bakal diterbitkan PHBB dalam pelaburan hartanah dan portfolio seperti Real Estate Investment Trust (REIT) yang mematuhi syariah?
Benarkah ini tujuan asal pemberian tanah yang premium seperti ini kepada PHBB sebagai satu hak pembangunan oleh kerajaan (MOF)? Apakah ada gantiannya dan tanah di mana?
Sekali lagi, mengapakah dan siapa yang mengarah dan memastikan agenda menjual aset utama milik PHBB seperti ini dijual juga akhirnya kepada 1MDB?
Saya berikan peluang untuk PM Najib jawab dan membuat penerangan dahulu, sebelum saya nyatakan pandangan dan kritikan saya secara adil dan tidak melulu.
DR DZULKEFLY AHMAD PM Kuala Selangor.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
No comments:
Post a Comment