KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan difahamkan telah diberi amaran untuk tidak terlalu menekankan isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) sepanjang minggu kempen pada pilihan raya kecil (PRK) Rompin dan Permatang Pauh sebelum hari pengundian Mei depan.
Menurut sumber dalaman UMNO, Ahmad juga diminta tidak bercakap isu GST terutama di Rompin yang memungkinkan kejatuhan majoriti di kawasan berkenaan.
"Ada kepimpinan tertinggi UMNO warning Ahmad Maslan mengenai kelantangannya dalam isu GST. Ia memungkinkan majoriti undi di Rompin berkurang dan kegagalan menawan Permatang Pauh.
"Usahanya bagus namun kenyataannya sering dimanipulasi pembangkang sehingga menyebabkan banyak isu yang ditimbulkannya kena semula kesannya kepada parti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini Ahmad dilaporkan berkata tidak memerlukan pentas pembangkang untuk memberi penerangan tentang GST.
Dia menjelaskan tidak perlu baginya menerima jemputan sebagai ahli panel forum GST daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang kerana pembangkang terang-terang menafikan kebaikan sistem itu.
Sementara itu seorang lagi sumber dalaman UMNO menjelaskan, Ahmad diharap tidak menggunakan isu GST semasa berkempen terutama di Rompin.
"Mungkin dia di 'cold storage' sekejap tetapi ia hanya dalam isu GST sahaja.
"Ada betulnya amaran yang diterima Ahmad, jika diteruskan hanya memberi kesan negatif kepada parti, faktor Ahmad Maslah boleh turunkan," katanya.
Sebelum ini, ahli akademik Prof Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusof dan mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyindir Ahmad yang membuat kenyataan memperkecilkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu GST.
Bagaimanapun, Ahmad di dalam blognya berkata tidak akan berhenti bercakap mengenai isu itu selain menjelaskan hanya memberi kemenangan kepada pembangkang seandainya menuruti gesaan berkenaan.
Pada Selasa, Ahmad di dalam laman Tweetnya menyifatkan kesalahan bukan pada GST namun peniaga yang menyokong pembangkang dan menaikkan harga barang.
Ahmad sebelum ini turut dilaporkan berkata, rakyat kini mula sedar pelaksanaan GST yang mendatangkan lebih kebaikan daripada sistem cukai kepenggunaan yang lain termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan sejak tahun 1972 dan 1975.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
No comments:
Post a Comment