KUALA LUMPUR: Akhirnya seorang hero sejati tampil sebagai penyelamat kepada mangsa buli yang menjadi sasaran pembuli siber terutamanya apabila dikecam gara-gara isu semasa dalam negara termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Menerusi platform media sosial, penyanyi rap, Ariz Ramli atau mesra disapa sebagai Caprice,25, melancarkan satu kempen ‘Bullying Stop Now’ (Hentikan Buli Sekarang) dengan menggunakan hashtag #watlekwatpeace sebagai mengalakkan belia menyebarkan rasa cinta.
Apa yang menarik, penyanyi ini tampil mempertahankan peserta Dewi Remaja, Mawar Rashid yang disifatkan menjadi mangsa pembuli siber gara-gara tidak dapat menjawab secara tepat maksud GST, baru-baru ini.
Menerusi laman sosial Instagramnya, anak jati Jelebu ini mempertahankan Mawar yang sebelum ini dianggap sebagai peserta yang memiliki wajah cantik tetapi cetek ilmu pengetahuan membabitkan isu dalam negara.
“Pertama sekali, saya percaya temubual atau cabaran yang dijalankan adalah dengan cara yang teruk.
"Saya mencabar anda untuk pergi ke mana-mana kolej sekarang dan bertanya kepada pelajar lelaki mahupun wanita secara rawak mengenai GST sama ada mereka itu sangat cantik atau sangat hodoh.
“Dia (Mawar) gagal menjawab soalan tetapi berjaya mengekalkan tahap ketenangannya. Cara pengacara bertanyakan soalan dan membuat video itu untuk ditonton secara umum adalah ke arah berlakunya siber buli.
“Adakah kita pernah mengambil kira implikasi terhadap mental dan emosi yang boleh berlaku kepada gadis-gadis pada masa akan datang?
“Saya sedih apabila Astro Gempak dan Program Dewi Remaja membenarkan ia ditonton secara umum kerana ini hanya menunjukkan satu kitaran yang tidak baik,” katanya dalam entri tersebut.
Difahamkan, kempen yang dilakukan penyanyi itu turut mendapat kerjasama daripada ibu bapa dan guru-guru dalam usaha menyebarkan mesej mengenai anti-buli di sekolah di seluruh negara.
Lebih menarik perhatian apabila niatnya itu turut disambut baik beberapa ahli politik dan pemimpin negara seperti mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M), Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Sementara itu, dalam status berasingan, Caprice turut mencabar mana-mana pihak membuat tinjauan di seluruh bandar untuk membuktikan sekurang-kurangnya 40 peratus dalam kalangan orang ramai masih keliru mengenai konsep GST.
Susulan itu, beliau turut menyatakan pendirian secara sukarela untuk bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dalam mendidik belia mengenai sistem cukai tersebut.
“Saya, Aris Ramli dan syarikat saya Caprice Technologies Sdn Bhd secara sukarela ingin bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk menyediakan, menulis dan mengeluarkan sebuah buku mengenai GST.
“Dengan warna yang menarik, lukisan dan ditulis dalam bentuk puisi. Kita akan mengagihkan buku ini secara percuma kepada semua pelajar di sekolah menengah mahupun kolej kerana tidak ada seorang pun kanak-kanak sama ada mempunyai wajah cantik atau sebaliknya akan berjalan ke kedai buku untuk belajar tentang GST,” katanya sambil berikrar akan memastikan Mawar turut terlibat dalam mempromosikan buku tersebut untuk mewujudkan kesedaran.
Nyata, usaha Caprice dilihat membuahkan hasil apabila rata-rata pengguna laman sosial Twitter menyambut baik usaha tersebut dengan menyatakan hashtag #watlekwatpeace dan menyebarkan mesej positif untuk menunjukkan sokongan kepada peserta Dewi Remaja yang dibuli.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
No comments:
Post a Comment