KUALA KANGSAR - “Saya tidak simpan dalam hati, saya reda dan saya maafkan pelajar itu. Dia tidak bersalah pun. Dia tidak perlu risau, saya maafkan dia.”
Itu luahan ikhlas seorang guru, Sharipuddin Jaafar, 53, yang hilang sebahagian jari telunjuk kanan akibat tersepit pintu kereta ketika salah seorang pelajarnya menutup pintu dengan kuat.
Walaupun jarinya putus, Sharipuddin yang juga guru disiplin dan mengajar subjek Matematik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Merchu, di sini, tidak menyimpan dendam terhadap pelajar yang melakukannya malah reda dengan kejadian menimpanya.
Menceritakan semula kejadian itu, Sharipuddin berkata, ia berlaku pada Isnin lepas kira-kira jam 5.10 petang ketika menunggu di dalam kereta sambil pelajarnya memasukkan barang ke bahagian tempat duduk belakang kereta.
“Masa itu saya datang (ke sekolah) untuk latihan sepak takraw dan saya panggil pelajar untuk bantu saya. Saya berada di tempat pemandu tetapi tangan saya berada di luar kereta dan menghala ke tempat duduk belakang.
“Saya tidak sedar apa berlaku tetapi saya rasakan jari saya sakit seperti disengat tebuan. Kemudian saya tarik tangan saya, rupa-rupanya jari saya dah putus dan darah memancut keluar.
“Saya terus keluar daripada kereta dan tidak lama kemudian, ada seorang pelajar membawakan tuala dan saya menekap jari dengan tuala,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Sharipuddin berkata, dia ternampak bahagian hujung jarinya yang putus di atas jalan dan mengambilnya dan meletakkannya di atas tuala sebelum pengawal keselamatan yang berada di situ membawanya ke Hospital Kuala Kangsar.
“Mujur pengawal keselamatan berada berhampiran pada masa itu dan dia yang membawa saya ke hospital. Masa itu, jari saya tidaklah berasa sakit sangat namun ada rasa kebas dan pedih-pedih.
“Pada petang itu juga, saya dibawa ke Hospital Taiping dan doktor kata jari ini tidak boleh disambung lagi. Saya pun kata tidak mengapalah, saya reda dengan apa yang jadi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sharipuddin memaklumkan dia masih belum mengetahui siapa yang menutup pintu tersebut kerana tiada pelajar yang datang berjumpanya dan mengaku melakukan perkara tersebut.
Katanya, pelajar tersebut tidak perlu takut berjumpa dengannya kerana dia tidak akan memarahi pelajar itu dan tidak menyalahkannya di atas apa yang terjadi.
“Mungkin pelajar itu takut untuk berjumpa dengan saya namun saya tiada masalah dengan dia, saya maafkan dia. Walaupun saya guru disiplin, saya memang tiada masalah dengan mana-mana pelajar.
“Saya reda dan maafkan pelajar itu. Saya pun tidak berniat nak bawa perkara ini ke peringkat lebih atas. Semangat saya untuk mengajar juga sama seperti dulu, tidak berubah,” katanya.
Sementara itu, Sharipuddin memaklumkan dia membenarkan gambarnya diviralkan namun dengan syarat ia mestilah untuk kebaikan guru dan tidak menyusahkan mana-mana pihak.
“Kalau pelajar yang putus jari, saya rasa keadaannya tidak akan sama dengan guru yang putus jari. Kalau pelajar yang kena, saya rasa banyak pihak akan turun dan menyiasat perkara ini.
“Kalau saya fikir nak marah, saya tidak boleh mengajar. Ini pun saya risau bila cuti panjang, pelajar-pelajar saya akan ketinggalan pula,” katanya.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
No comments:
Post a Comment